Larangan Untuk "Mak Lampir" Masuk Ke Sarawak Adalah Wajar


Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan larangan Kerajaan Negeri ke atas Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin dari memasuki Sarawak baru-baru ini adalah tindakan yang wajar.

"Tindakan melarang Zuraida adalah satu langkah mempertahankan Sarawak dan masyarakatnya kerana ia sememangnya adalah tugas dan tanggungjawab Pentadbiran Negeri Sarawak."

"Mereka (Kerajaan Negeri Sarawak) lebih arif untuk menilai apa yang mereka rasakan baik untuk negeri dan rakyat Sarawak."

"Kerajaan Negeri Sarawak berkuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri Sarawak," jelasnya lagi.

Junaidi, yang juga Ahli Parlimen Santubong dihubungi Sarawakiana sebentar tadi bagi mendapat komen beliau mengenai penghalangan kemasukan Zuraida ke Sarawak serta kenyataan Zuraida yang akan mengambil tindakan ke atas kerajaan Sarawak kerana melarangnya dari memasuki negeri ini.

Mengenai kenyataan Zuraida yang ingin mengambil tindakan ke atas Kerajaan Negeri Sarawak di atas larangan tersebut, Junaidi menyatakan itu terpulang kepada beliau (Zuraida).

"Mana-mana pihak yang tidak berpuas hati atas keputusan di buat oleh Kerajaan juga mempunyai hak membawa kes ke mahkamah, ini adalah sistem pentadbiran Negara yang di turun ke Negeri," jelasnya lagi.

Pada hari Ahad lepas, Zuraidah, yang juga Ahli Parlimen Ampang yang dijadualkan menghadiri sebuah ceramah politik bersama Ketua Umum Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dinafikan kemasukannya ke Sarawak.

Difahamkan larangan Zuraida untuk memasuki Sarawak adalah di bawah Seksyen 8 (3) yang dibaca bersama Seksyen 65 A/1 Akta Imigresen 1959/63, yakni di bawah bidang kuasa Negeri Sarawak.-SARAWAKIANA

Comments