Persempadanan Semula: DAP Sarawak Hanya Nak "Menang Mudah" Pada PRN?


Dari Portal sarawakiana.net - Niat sebenar di sebalik saranan Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar mewujudkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) baharu melibatkan DUN Pending dan Batu Lintang adalah menambahkan bilangan kerusi pembangkang di negeri ini dengan cara yang termudah sekali.

Semalam, ADUN Pending Violet Yong pada satu sidang media di Ibu Pejabat DAP di Kuching berkata, DAP Sarawak akan membuat bantahan kepada SPR dan mencadangkan pengwujudan kawasan DUN yang baharu melibatkan pecahan antara Pending dan Batu Lintang.

Alasan DAP untuk berbuat demikian kononnya adalah sama seperti alasan Barisan Nasional (BN) juga iaitu untuk "penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap" sebenarnya tidak relevan langsung terhadap dua kawasan (Pending dan Baru Lintang) yang dicadangkan DAP.

Mana tidaknya, kedua kawasan tersebut berhampiran dengan Bandaraya Kuching lengkap dengan segala infrastruktur asas berbanding dengan kawasan-kawasan persempadanan yang baharu yang telah dicadangkan SPR.

Berikut adalah senarai DUN baharu yang dicadangkan; N13 Batu Kitang, N17 Stakan, N18 Serembu, N23 Triboh, N26 Gedong, N40 Kabong, N57 Tellian, N63 Selirik, N66 Murum, N70 Samalaju dan N78 Long Lama.

Tidak keterlaluan jika dikatakan permainan pembangkang Sarawak begitu licik sekali dengan mempergunakan alasan untuk kebaikan rakyat tapi sebaliknya hanya untuk memperkuatkan kuasa politik mereka.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang lepas, bagi DUN Pending, Violet telah memenangi sebanyak 14,375 undi mengalahkan Prof. Dr. Sim Kui Hian (BN) yang hanya mendapat 6,780 undi dari keseluruhan pengundi yang berjumlah seramai 21,274 orang.

Manakala, bagi DUN Batu Lintang pada PRN yang sama menyaksikan See Chee How (PKR) mendapat sebanyak 13,235 undi menewaskan Sih Hua Tong (BN) yang mendapat 4,854 undi sementara calon bebas Soo Lina yang hilang wang depositnya setelah mengutip hanya 290 undi dari jumlah keseluruhan 18,440 orang pengundi.

Dari jumlah besar undi yang di pungut pembangkang pada PRN yang lepas di DUN Pending dan Batu Lintang, jelas cadangan DAP agar beberapa bahagian dari kedua DUN tersebut dijadi satu DUN baharu hanya akan memberi kelebihan kepada pembangkang.

Untuk rekod, BN Sarawak telah memenangi 55 kerusi, DAP (12), PKR (3) dan bebas (1) pada PRN yang lepas.

Hakikatnya, bukan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat yang menjadi matlamat DAP Sarawak namun ianya lebih kepada visi untuk menambahkan kerusi dan memperkuatkan kuasa mereka di Bumi Kenyalang ini dengan memenanginya dengan cara yang mudah. - SARAWAKIANA

Comments